Subscribe

RSS Feed (xml)



Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Thursday, October 04, 2007

::Zikrul Maut::


Salam Ramadhan Kareem!!!

Memang agak lama juga Nuur Mawardah tak update2 blog ni... actually bz dengan test, assignment.. maklumla waktu2 kecemasan dah.. sempena Ramadhan Al-Mubarak ni, Nuur Mawardah just sempat curi assignment sem 3 yang lepas iaitu madah Akhlaq. harapnya dapat memberi manfaat buat semua walaupun just copy dari buku.. Mohon sejuta kemaafan kepada semua, moga2 Ramdhan kali ini sungguh bermakna buat kita semua.. moga ketemu malam al-Qadr!!! Doakan Nuur Mawardah dalam menempuh Imtihan Niha`ie yang akan bermula 28 Oktober 2007 sampai 20 November 2007 ni...




MUQADDIMAH

Sifat mahmudah atau juga disebut akhlak yang mulia adalah menjadi harga yang bernilai bagi diri seseorang itu. Tanpa hati yang memiliki sifat itu maka tiada erti baginya seseorang insan, betapalah lagi hinanya dia disisi Allah SWT.
Dalam kita membincangkan topik ini, suka sekali dikemukan satu pepatah arab yang bermaksud: “Tiada satu anugerah yang Allah beri kepada seseorang manusia itu lebih mulia daripada akalnya dan budi pekertinya.” Pengertian kalimah ini menjelaskan banyaknya anugerah Allah SWT kepada kita, maka akal dan budi pekertinya yang paling mulia selepas iman. Kalimah ini memang tepat sekali kerana tidak ada ertinya bagi diri seseorang itu kalau dirinya tidak memiliki akal Walaupun dia seorang ratu cantik dunia atau jutawan.
Belum tentu orang menyukainya kerana akalnya tidak normal lagi. Dan bagi dirinya tidak ada erti rupa cantik , wang berjuta ringgit, harta menggunung kalaulah akalnya tidak waras. Sebaliknya mereka akan dicemuh dan dikata orang.



SELALU MENGINGATI MATI

Dalam ajaran Islam, mengingati mati itu adalah baik. Ia sangat digalakkan. Sunat hukumnya bagi kita mengingati mati. Amat bertentangan sekali halnya dengan zaman sekarang ini di mana orang tidak suka kalau kita membawa cerita perihal mati kerana orang zaman ini percaya dengan mengingati mati itu melemahkan semangat, membantutkan kemajuan dan sebagainya.
Sebab itu ada orang marah kalau kita mengemukakan soal mati. Sedangkan dia tidak sedar dengan hanya mengingati mati kita mendapat pahala percuma tanpa berbuat apa-apa. Pada hal kalau hendak membuat pahala sedekah kita perlu mengeluarkan duit, kalau hendak menolong orang kita kena korbankan tenaga dan sebagainya. Jadi padahal dengan mengingati mati itulah yang paling mudah diperolehi berbanding dengan cara memperolehi pahala-pahala lain.
Untuk mendapatkan pahala mengingati mati, kita perlu sentiasa menyebut-nyebut mengenai kematian. Jumpa kawan-kawan kita keluhkan, “Hai…aku ini entah bila matinya…” atau ketika bersama ahli keluarga, “kalau aku mati…!” dan sebagainya. Kita ungkapkan perkataan mati itu untuk menyedarkan diri tentang mati. Rasulullah SAW sendiri tidak kurang dari dua puluh kali sehari mengingati mati. Baginda begitu rindu dengan kematian. Orang mukmin sejati begitu cintakan mati kerana akhirat itu tempat rehat bagi orang-orang mukmin.
Amat berlainan sekali dengan kita. Takut akan mati. Seandainya dapat diingatkan mati itu sekali sahaja sudah baik kerana sekurang-kurangnya dapat mengawal diri kita dari terlalu asyik dengan dunia ini. Diantara anjuran Rasulullah SAW agar manusia itu mengingati mati ialah dengan sabdanya yang bermaksud: “Hendaklah kamu memperbanyakkan menyebut perkara-perkara yang akan melenyapkan kelazatan. (Dalam hal ini bererti mati).” Riwayat Tarmizi, Nasa`I dan Ibnu Majah.
Bagi orang mukmin atau orang kuat iman serta taqwanya, teringat sahaja mati boleh mematahkan seleranya hingga tidak mahu makan, boleh menyebabkan hatinya tidak teringin kepada kenikmatan dunia dan tidak lagi cinta kepada dunia. Bagaimana tidaknya, mati itu bukan perkara yang mudah kerana bila sudah mati tinggallah segala-segalanya. Tinggal rumahtangga, tinggal anak isteri dan sebagainya. Selain daripada itu, mati adalah terlalu sakit seperti kena tetak 300 kali pedang.
Bayangkanlah betapa sakitnya. Kemudian kalau orang derhaka kepada Allah SWT, bayangkanlah siksaan yang akan diterima di dalam kubur apabila Munkar dan Nakir memukul kita. Amal kejahatan kita di dunia pula akan digambarkan dengan begitu busuk sekali sehinggakan busuknya itu kalau di dunia ini boleh mematikan manusia. Tentu gerun sekali kalau memikirkan tentang mati ini. Betapa pula kalau dibayangkan perihal neraka, yang mana apinya tujuh kali panasnya, dalamnya diibaratkan kalau dilempar batu tujuh puluh tahun baru sampai. Jadi kalau kita mengingati mati ini, kalau ada selera hemdak makan pun boleh terencat dan kalau ada rasa rakus, ia akan hilang serta merta. Ini kerana gerun ketika mengingati mati itu.
Rasulullah SAW bersabda dengan Maksudnya: “Hendaklah kamu bayangkan mengingati mati itu kerana mengingati mati boleh mengahpuskan dosa dan boleh mendorong seseorang itu zuhud di dunia.” Ibnu Abiddunia.
Dalam hadis ini terdapat dua kebaikan iaitu, Pertama mengingati mati boleh menimbulkan rasa zuhud selama di dunia ini. Di sini elok juga diterangkan maksud zuhud di dunia. Zuhud bukan bermaksud kitab tidak mengendahkan dunia atau tidak sukakan dunia, tetapi zuhud sebenarnya ialah orang yang hatinya tidak terpaut kepada dunia sungguhpun dunia dikendalinya ataupun dalam penguasaannya. Dia tidak cintakan dunia, Walaupun dunia di dalam tangannya. Katalah dunia yang dia miliki itu seperti rumah besar, kereta besar, harta yang banyak dan sebagainya. Hatinya tidak sedikitpun tidak terpaut. Andainya dunia yang dimiliki itu hilang darinya seperti dicuri orang dan sebagainya, hatinya tidak menderita. Hatinya tidak keluh kesah. Inilah yang dikatakan orang zuhud dunia. Hanya orang-orang yang selalu mengingati mati sahaja yang boleh zuhud dunia.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Memadailah mati itu sebagai nasihat.” Al-Harith Abi Usamah.
Membaca Al-Quran boleh memberi nasihat kepada manusia, membaca hadis juga boleh memberi nasihat kepada manusia. Mati itu boleh membawa rasa insaf dalam dalam diri seseorang. Bila melihat mayat terbujur, kita akan terkenangkan segala-segalanya. Kalau yang terbujur itu sahabat, kita akan teringat peristiwa hidupnya bersama-sama kita. Sama-sama bermain, sama-sama belajar dan sebagainya. Samada yang baik mahupun yang buruk, semuanya kita akan kenang. Kini mayatnya di depan mata kita. Tentunya kita membayangkan hal keadaan dirinya yang sudah mati itu di alam barzakh. Bagaimanakah halnya kalau kita yang menjadi mayat itu? Tentu sekali ingatan itu akan mengusik hati kecil kita. Maka itulah, mengingati mati itu boleh menjadi nasihat yang paling berkesan. Cuma yang malangnya, kalau mengingati mati pun tidak boleh memberi kesan kepada diri kita, maka berat dan sukar sekalilah bagi diri kita untuk insaf. Betapa tidaknya, kalau melihat mayat terbujur pun kita masih bercakap-cakap hal dunia, beromong-omong kosong dan sia-sia, berbual-bual tentang perniagaan, gaji tak naik, hiburan dan sebagainya, maka tidak ada harapan bagi kita untuk insaf. Orang seperti ini pintu hatinya jauh dari petunjuk Allah SWT. Ini adalah keadaan yang sering berlaku di zaman ini. Ada manusia yang sanggup bergurau senda dan bergelak ketawa di hadapan mayat.
Padahal ada satu keterangan hadis Rasulullah SAW dimana sabda baginda yang bermaksud: “Ada lima tempat yang apabila seseorang itu bercerita tentang hal dunia, dia akan dibangkitkan daripada kubur daripada seekor babi.
Yang Pertama ialah berbual-bual hal dunia di majlis membaca al-Quran, berbual-bual dalam majlis kematian, berbual-bual di atas kuburan dan berbual-bual dalam masjid.”
Inilah lima tempat dimana jika kita berbual-bual hal dunia, maka kita akan dibangkitkan dari kubur seperti seekor babi.
Alangkah malang bagi seseorang yang bersifat seperti itu. Kesimpulan dari hadis-hadis yang diterangkan mengenai hal mati, terdapat tiga pengajaran iaitu;
a) mengingati mati boleh menghapuskan dosa.
b) Mengingati mati boleh membuatkan kita menjadi zuhud di dunia
c) Mengingati mati boleh menjadi nasihat yang paling berkesan.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Mereka apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, “seseungguhnya kami ini kepunyaan Allah dan kepadaNya kami kembali”
Surah Al-Baqarah ayat 156.

Seterusnya di dalam hadis Rasulullah SAW ada diterangkan bahawa orang yang cerdik ialah orang yang sentiasa mengingati mati. Sabda Rasulullah dalam hal ini: “Dengan banyak mengingati mati dan mengadakan persediaan yang lebih baginya, mereka itulah orang yang pintar yang pergi dengan kemuliaan dunia dan kehormatan akhirat.” Riwayat Ibnu Majah dan Ibn Abiddunia.
Tentu orang akan menyangkal kata-kata ini kerana masakan orang yang selalu mengingati mati itu orang yang paling cerdik. Tentulah orang yang banyak mengingati dunia, selalu merancang itu dan ini, bagaimanana mahu untung berniaga, menjadi orang yang kaya raya dan segainya, itulah orang yang paling cerdik. Sebenarnya orang yang beranggapan begini mereka tidak faham. Orang-orang yang cerdik itu termasuklah mereka yang mempunyai sifat taqwa yang merupakan harta untuk matinya. Orang-orang inilah yang diertikan Rasulullah SAW sebagai orang yang paling cerdik kerana mereka itu pergi ke akhirat dengan kemuliaan dunia. Ini bererti mereka meninggalkan dunia tanpa diperdaya olehnya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kamu hidup sebagai seorang yang mulia yang mana dunia tidak mempengaruhi kamu.”
Di sini Rasulullah SAW menunjukkan bagaimana seseorang itu hidup merdeka dan bebas yang dia itu hanya mementingkan dirinya dengan Allah SWT sahaja tidak dengan perkara-perkara lain. Di dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kamu hidup sebagai orang yang mulia, yang mana dunia tidak mempengaruhi kamu ataupun hendaklah kamu mati syahid.” Jadi, kita perhatikan di sini bahawa bagi orang yang denikian dia benar-benar mulia di dunia dan mulia di akhira. Mulianya di dunia kerana dunia tidak dapat menipunya dan dia hidup merdeka. Cuma dia tidak merdeka di sisi Allah SWT sahaja. Disamping dapat menguasai dunia, kekayaan dunia, kekuasaan dunia dan sebagainya, dia tidak terikat kepada dunia ini. Bagi orang-orang seperti ini, di akhirat kelak dia lebih mulia dengan nikmat-nikmat akhirat yang tiada bandingan dan bayangannya di dunia.

Mengapakah dikatakan orang yang paling cerdik ialah orang yang selalu mengingati mati? Cuba kita tinjau bagaimana orang yang sering berusaha mencari bekalan untuk mati itu orang yang paling cerdik. Orang yang demikian dianggap cerdik ialah kerana dia memikirkan bala bencana yang lebih berat daripada apa yang terdapat di dunia. Memang benar, bala yang ada di dunia ini tidak sama hebat dan dahsyatnya dengan yang terdapat di akhirat. Bala bencana di akhirat adalah amat pedih dan mengerikan. Cuba kita bayangkan bencana di dunia seperti seorang yang jatuh dari pokok kelapa. Kepalanya terhempas ke batu dan bersepai otaknya. Otak itu disudu pula oleh itik sambil anggpta badannya dimamah anjing. Tentulah hebat sekali derita yang dialaminya tetapi halnya tidak sama dengan sekecil-kecil deraita di akhirat.

Oleh kerana itu orang yang mengingati mati adalah orang yang paling cerdik kerana dia dapat membayangkan bala dan derita yang lebih hebat di akhirat. Kerana itu dia tidak takut dengan bala bencana di dunia. Dia tahu bencana di akhirat paling derita dan kekal untuk selama-lamanya. Tetapi bagi kebanyakan manusia, mereka tidak dapat memikirkan betapa beratnya penderitaan di akhirat, malah mereka lebih takut penderitaan di dunia.

Kemudian kita difahamkan juga bahawa orang yang mengingati mati itu ada tiga golongan. Golongan-golongan tersebut adalah seperti berikut:
1. Orang yang tenggelam dalam keduniaan. Hatinya begitu terpaut dengan kenikmatan dunia, kerana itu apa sahaja yan dilakukannya semata-mata untuk dunia. Belajarnya untuk dunia, mencari rezekinya untuk dunia, berjuang dan berjihad untuk dunia dan perkara-perkara yang lain semua adalah untuk dunia. Malahan orang yang demikian, bila teringat sahaja mati, menjadi satu derita kepada dirinya. Ini membuatkan dia memikirkan apa yang akan terjadi kepada isterinya yang cantik, apa akan terjadi dengan hartanya, rumahnya kereta mahalnya dan lain-lain lagi. Orang yang bersifat begini akan teringatkan segala-segalanya. Hinggakan kalau dia ada membela anjing yang banyak berjasa kepadanya pun dia akan teringat. Siapakah yang akan menjaganya kalau dia mati kelak. Demikianlah bisik hatinya. Inilah jenis manusia yang telah tenggelam dalam dunia. Mereka ini terseksa jiwanya bila hendak mati. Kalau boleh mahu lari dari berhadapan dengan say kematian. Tetapi Allah memperingatkan kepada kita dengan firmanNya yang bermaksud: “Katakanlah seseungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya itu, tetap akan menemui kamu, kemudian itu kamu akan dikembalikan kepada Tuhan yang mengetahui segala yang tersembuni dan yang nyata, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang pernah kamu lakukan.” Terjemahan Surah Al-Juma’ah ayat 8.

2. Golongan yang bertaubat. Golongan ini apabila mereka mengingati mati, akan lebih bersungguh-sungguh lagi beribadah kepada Allah SWT. Taubatnya semakin bertambah sempurna kerana dia benar-benar takut terhadap azab yang menantinya selepas mati. Kerana itu didalamnya penuh rasa ingin membaiki diri dan menambahkan amal baktinya kepada Allah SWT.

3. Golongan orang yang mengingati mati terus menerus. Ini adalah golongan yang luar biasa. Dia orang yang arif iaitu yang mengenali Allah SWT dengan mata hatinya dan bila teringat mati jiwanya tenang sahaja kerana setelah mati dia akan dapat menemui Kekasihnya. Allah SWT itu kekasihnya. Bila mati dia dapat merehatkan diri daripada dunia yang tidak pernah rehat ini. Bagi mereka kubur merupakan tempat rehat kerana kubur-kubur itu adalah bilik-bilik syurga bagi golongan ini. Jadi bagi orang yang arif ini dia begitu sedar sekali tentang mati. Kerana dengan menemui mati dia akan menemui kebahagiaan. Apakah kebahagiaan yang hendak ditemui itu? Itulah kebahagiaan menemui Allah SWT di dalam syurga. Cuma di sini janganlah kita keliru hingga mengatakan Allah SWT itu di dalam syurga kerana sesungguhnya Allah SWT itu tidak bertempat. Hanya orang yang bertaqwa sahaja yang dapat melihat Allah SWT di dalam syurga dan inilah merupakan nikmat yang paling tinggi.

Di sini elok juga kita memperkatakan sedikit bagaimana cara yang sebaik-baiknya untuk kita mengingati mati supaya kita bersedia dan insaf benar-benar di samping supaya kita berusaha mencari bekalan untuk mati. Di antara cara-cara yang boleh memberi manfaat kepada kita bila kita mengingati mati hingga boleh menjadikan diri kita zuhud di dalam dunia, hingga dunia yang ada sekitar kita iaitu dengan memperbanyakkan mengenang sahabat handai kita yang telah pergi dahulu menemui Allah SWT. Kita ingatkan bagaimana mereka itu dulu sama-sama bermain dengan kita, sama-sama bergurau dan sebagainya. Juga ingatkan pula tugas dan jawatan mereka di pejabat dan di kalangan masyarakat. Semua itu ditinggalkan begitu sahaja tanpa barang sedikit pun dibawa bersama menemui Allah SWT. Bahkan kalau ada harta, rumah besar, wang ringgit, isteri cantik dan sebagainya ditinggalkan kepada waris-warisnya untuk menyambung tanggungjawab dirinya yang dipanggil oleh Allah SWT. Demikianlah yang boleh kita lakukan untuk membawa diri kita mengingati mati supaya rasa keinsafan ada di dalam diri kita setiap detik dan masa sehingga ke titisan darah yang terakhir.


RUJUKAN

v PENAWAR BAGI HATI, Abdul Aziz Ismail, 1992, Dinie Publishers, Kuala Lumpur.
Wallahu`Alam...

No comments: